Lili Norlaili

Novel dewasa pertama yang saya baca ialah Badai Semalam karya Khadijah Hashim, ketika itu berumur sembilan tahun. Ketika berumur sepuluh tahan, saya jumpa sebuah lagi novel yang tersimpan rapi iaitu karya Baharuddin CD yang berjudul Arca Berdiri Senja. Kedua-dua novel ini saya baca berulang kali dan mungkin novel inilah yang mula mencetuskan minat saya dalam membaca novel dewasa.

Saya menulis sekadar mahu suka-suka yang dahulunya hanya mahu mengisi masa terluang. Saya gemar bereksperimen melalui cerpen dan sajak. Pernah juga karya saya tersiar di dalam beberapa majalah bulanan sebelum ini.

Tercetusnya rasa untuk menghasilkan sebuah karya berbentuk novel apabila mendapat saranan daripada kawan sepejabat.. Ketika itu saya sering diberi kepercayaan menjadi pembaca pertama manuskripnya. Juga, dorongan serta kata-kata semangat daripadanya, menjadikan Hanya Dia Sufi berjaya menemui titik noktahnya.

Hanya Dia Sufi, sebuah novel yang ringan penceritaannya, berkisar tentang sebuah kehidupan yang biasa-biasa sahaja di kalangan orang-orang biasa. Betapa jauh jika ingin dibandingkan dengan novel-novel lain yang hebat-hebat di pasaran. Kerana setakat itu yang mampu saya persembahkan untuk nukilan pertama dan saya akan terus mendalami ilmu bidang penulisan kreatif ini dan akan terus memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan dari hari ke hari kerana menulis adalah kecintaan saya.

Seorang isteri, ibu dan sekarang masih lagi bergelar pekerja serta pelajar separuh masa. Dan diharap ‘kerjaya’ sebagai penulis kecil-kecilan ini jua mampu digalas sehingga selama-lamanya. Insya-Allah.

E-mail: This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it

Blog: http://www.cahayamalamelie.blogspot.com

You are here: Penulis JS Lili Norlaili