Haswida Abu Bakar

Dengan asas bakat yang kecil bak setitik dakwat di kertas kosong, bila-bila masa saja boleh kering dan pudar lusuh. Saya dibimbing oleh rakan-rakan rapat yang sudah punyai nama dalam bidang penulisan kreatif ini. Melalui tunjuk ajar dan nasihat merekalah bakat yang sekelumit ini mula menjadi tompok-tompok dan membentuk corak. Semakin hari semakin jelas rentak tari pena atau alunan bunyi jemari menaip. Bermula dengan penulisan cerpen saya dicabar mereka untuk meneroka dunia imaginasi novel. “Lebih luas. Lebih puas,” kata mereka pada saya dulu.

Dengan semangat dan impian untuk berada `sama taraf’ dengan beberapa orang rakan yang sudah bergelar penulis novel, saya hasilkan Ulit Sayang Bercantum Di Ujung (1997). Tidak puas dengan itu kemudian lahir pula Suhaila, sekitar tahun 2000. Atas permintaan seorang rakan saya hasilkan pula Hingga Hujung Nyawa (2004). Novel yang diadaptasi daripada filem Hingga Hujung Nyawa (2004).

Menulis novel adalah terapi minda bagi saya. Saban hari apabila penat dengan kerja-kerja di pejabat dan setelah letih melayan kerenah anak-anak yang sedang membesar, saya berteleku di depan laptop. Bila akal mula berimaginasi dan tangan pula merealisasi, terasa cerita yang direka bergerak dengan sendiri. Kadang kala saya sendiri tidak tahu bagaimana dan apa yang bakal terjadi. Ada ketikanya saya rancang begini tetapi akhirnya begitu. Yang pasti bila diri terasa bagaikan melayang-layang mengembara ke dunia cerita novel yang saya ciptakan, berada dalam ruang yang menjadi latar cerita dan merasai emosi yang silih berganti pada watak-watak, menjadikan saya leka sebentar. Jiwa terasa lapang. Memadai hanya dengan  menulis semuka dua.

Menulis novel juga adalah cara saya belajar ilmu baharu. Sepanjang `pengembaraan’ saya dalam mencipta kisah sebuah novel, tentunya di sana sini ada perkara baru yang saya belajar. Yang tidak tahu kini sudah tahu.

Ilmu baharu yang saya pelajari inilah yang ingin benar saya kongsi bersama pembaca. Harapan saya semua novel-novel saya dapat memberi ilmu baru pada pembaca seperti masa saya sebagai penulis. Selamat membaca dan berhibur.

http:/haswidaabubakar.blogspot.com/

You are here: Penulis JS Haswida Abu Bakar