Khairyn Othman

SEWAKTU BERUMUR LIMA BELAS TAHUN, seorang guru pernah membuat ramalan. Dalam marah dia tuding jari; “kamu akan jadi wartawan.” Setahun kemudian seorang polis pula ‘menyumpah’ katanya, saya bakal seorang wartawan. Beberapa tahun kemudian ‘ramalan’ dan ‘sumpahan’ mereka menjadi kenyataan. Saya bertugas sebagai wartawan di syarikat persuratkhabaran berbahasa Inggeris di Jalan Bangsar.

Lebih satu dekad saya menulis tentang realiti manusia. Penuh dengan pelbagai ragam. Ada cerita gembira, tak kurang juga kisah sedih. Bertahun saya dihidangkan dengan kisah ketidakadilan sesama manusia sudah cukup membuatkan seseorang itu berhati ‘kering’. Setiap kejadian hanyalah kisah untuk memenuhi ruang kertas dan kuota harian. Sehinggalah satu hari saya bertanya dalam diri, “Mungkinkah masanya sudah tiba untuk saya sambung pengajian yang tertinggal?”

Menulis memang sudah menjadi kebiasaan saya, mengelamun pula kadang-kadang menjadi aktiviti mengisi masa lapang. Pertembungan dua tabiat ini saya manfaatkan sepenuhnya dalam pengajian saya di bidang Kewartawanan dan Penulisan Kreatif di sebuah universiti di Glasgow, Scotland. Akhir sekali saya mohon anda ‘ramalkan’ saya akan lulus dengan cemerlang dan ‘sumpahlah’ saya menjadi kaya supaya tidak perlu terlalu bersusah payah mencari wang biaya di sini. Ada tiga tahun lagi yang perlu saya tempuhi.

http://bungatigris.blogspot.com

You are here: Penulis JS Khairyn Othman