John Norafizan

john

Sumpah! Saya tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang penulis atau menghasilkan novel bercetak untuk dijadikan bahan bacaan umum. Apatah lagi, saya lahir dari bidang yang amat jauh dari sastera – Ya, kejuruteraan! Dua spektrum yang berbeza. Tetapi segala-galanya berubah ketika saya kembali semula ke Malaysia pada sekitar tahun 2000 yang lalu. Mungkin ia adalah satu tanda takdir untuk saya beralih arah (walaupun masih lagi bekerja sebagai seorang jurutera sehingga kini!). Mungkin juga hanya satu kebetulan.

Kerana itu (sehingga kini), saya masih lagi menganggap diri saya hanya seorang penulis ‘cuba-cuba’ yang mahu menghasilkan cerita yang unik dan lain dari yang lain sebagai pengajaran untuk diri saya sendiri dan masyarakat umumnya. Cerita yang dapat membuatkan saya berfikir dan mengingati cerita itu walaupun sudah selesai membacanya dua atau tiga bulan kemudian.

Jika anda tanya, bagaimana cara saya menulis? Oh! Saya tidak tahu. Saya sekadar menulis dari hati. Tentang manusia dan kerenah mereka. Tentang Tuhan dan kejadian alam yang menakjubkan. Dan apa yang saya temui sepanjang berkelana mengembara mengelilingi dunia sebelum ini (dan Insya-Allah di masa hadapan). Segala-galanya bagai coretan kanvas indah dan muzik merdu sehingga membuatkan hati saya tergerak untuk menulis. Seolah-olah ada kuasa lain yang bekerja melalui saya.

Mungkin satu masa nanti, anugerah ini akan ditarik balik. Namun, sehingga satu masa itu datang, saya akan terus menulis dan menulis dan menulis lagi sehingga tidak ada yang tertinggal di dalam khazanah idea saya ini. Untuk itu, saya benar-benar bersyukur dengan seribu syukur pada Tuhan yang Esa!

http://www.johnnorafizan.com

You are here: Penulis JS John Norafizan