Iman Xara

Iman Xara lahir dan membesar di Pulau Pinang. Kini, dia tinggal di Kuala Lumpur dan bekerja di Damansara. Dia lebih banyak sesat di negeri kelahirannya dari sesat di Kuala Lumpur kerana sudah sekian lama bermastautin di ibu kota itu.

Minat menulisnya selari dengan minatnya membaca. Ketika kecilnya, dia sanggup mengayuh basikal berbatu-batu jauhnya untuk meminjam buku di Perpustakaan KEMAS di kampungnya. Kalau buku sudah ada di genggamannya, memang dia tidak akan berganjak dari membaca sehinggalah dia tertidur. Sejak itu, dia menanam azam untuk menjadi seorang penulis. Dia malah sudah punya koleksi cerita kanak-kanak tulisannya sendiri sejak darjah lima yang dijilidnya sendiri dengan benang. Cerita bertulisan tangan itu dihias dengan lukisan ‘comot’nya sendiri. Sayang sekali, koleksi cerita-cerita tulisannya itu sudah hilang entah ke mana.

Apabila dewasa, Iman Xara bekerja pula di dalam bidang perakaunan. Ada teman yang berkata dia pelik orangnya kerana seseorang yang bekerja dalam bidang perakaunan cenderung menggunakan otak kiri dan kurang menggunakan otak kanan. Iman Xara sekadar tersenyum dan berkata yang dia menggunakan ‘otak tengah’ – gabungan logik dan perasaan.

Minatnya dalam bidang penulisan sememangnya sukar hendak disimpan-simpan. Sebelum menulis manuskrip untuk novel, Iman Xara terlebih dahulu menulis cerita pendek yang dikenali sebagai fonnovela untuk sebuah talian telefon terkemuka di Malaysia. Selain itu, dia juga berminat dalam penulisan sajak. Sajak-sajak yang ditulisnya sering kali lahir apabila ada kisah sekeliling yang menyentuh perasaannya. Sajak-sajak tulisannya itu sering kali dimuatkan di dalam weblog Friendsternya.

Kata Iman Xara, seindah mana pun kata-kata yang dikarang, tidak mungkin menjadi seindah kata-kata Yang Maha Esa.

http://imanxara19.blogspot.com

You are here: Penulis JS Iman Xara