Jemari Seni

Poster Web JS 2 1

 
 
 
 
You are here:: Kutubkhanah Pesta Buku 2011 Imaen dan Blues Retro
 
 

Imaen dan Blues Retro

Imaen
blues_retro-web
Imaen
blues_retro-w
Kak_Nila
  • Prev
  • 1 of 5
  • Next

19 April 2011

Lagi 3  hari
ke Pesta Buku Antarabangsa KL

IMAEN BERCAKAP FASAL SI MANIS 17 – ‘BLUES RETRO’


Memandangkan Kak Nila mungkin sudah tutup mulut, kerana merajuk maka terpaksalah saya memperkenalkan buku sendiri!

Assalamualaikum,

Kalau pelukis-pelukis besar seperti Van Gogh dan Picasso ada lukisan bertajuk self protrait, yang melukis diri sendiri, maka saya yang punya nama kecil ini pula ingin menulis ‘self portrait’.  Dan kerana saya ada ‘photoshop’ sendiri, maka tentunya segala yang tak elok saya buang. Saya hanya akan menulis yang baik tentang tulisan saya a.k.a memuji diri sendiri. Ha ha ha (*gelak jahat pada Kak Nila*)
Jadi buat pertama kalinya saya ingin mempromosi diri sendiri secara rasmi :D

 

 

 


Atau lebih tepat saya ingin membuat promosi Blues Retro.

Lalu seharusnya saya menjadi seperti sesetengah jurujual novel yang berkata begini, dengan suara lembut perlahan memujuk, “Novel ini bagus tau. Saya dah baca, belilah, abang dan kak gerenti tak rugi punya,” dan berdiri dengan kasut tumit tinggi sejengkal, lagak tenang serta bersuara dengan gaya yang sangat yakin.

Tapi tak, saya tak akan berbuat begitu. Saya pun tahu malu juga. Serahkan kerja-kerja begitu pada jurujual saja.

Saya hanya mahu bercerita tentang Blues Retro saja. Cerita yang tersembunyi di sebalik tabir. Mula-mula, biarlah saya beritahu bahawa Blues Retro ini sebenarnya gabungan dua idea yang melintas dalam dua waktu yang berbeza, Wrap n’ Roll dan Jom La Kahwin Lari! yang saya peram lama dalam tempayan fikiran saya. Menjadi nira, dan akhirnya selepas habis tempoh gila bertukar menjadi cuka. Masam. Tapi tanpa cuka banyak resipi yang tak jadi. Nasi beriani pun perlu acar untuk lebih lengkap hidangannya. Dan mana ada acar kalau tak ada cuka.

Blues Retro
menggunakan bahasa yang mudah. Tak ada perkataan-perkataan yang bombastik apa lagi ayat-ayat yang bersayap membawa pembaca ke dunia kayangan. Saya biarkan pembaca tetap berdiri di bumi. Menghidu kohong kehidupan dan merasa betapa manisnya pahit hidup. Ini cerita golongan marhaen, ditulis oleh seorang marhaen tapi sesuai dibaca oleh marhaen mahupun borjuis.

Blues Retro bercerita tentang kehidupan seorang pelajar universiti pada tahun 1987-1990, dan kerana saya belajar di UM, saya jadikan universiti itu sebagai latar tempat; untuk bangunan-bangunannya serta persekitarannya dan bukan sistemnya. Dalam cerita ini saya namakan universiti itu sebagai Universiti Lembah Pantai.

Ini kisah cinta antara Ghazi, pelajar antropologi yang ada gerai burger bernama Wrap n’ Roll Express dengan Nik Farhana, pelajar perubatan daripada keturunan priayi. Tentu saja cinta mereka tak mudah, kerana masalah perbezaan kelas sosial dan ekonomi. Tak cukup dengan itu, mereka berdua juga punya pandangan dan falsafah hidup yang berbeza. Ghazi aktivis masyarakat yang sayangkan Melayu dan segala yang Melayu dalam Melayunya, tapi Nik Farhana ialah orang yang berasa tidak penting untuk menjaga ‘Melayu’. Melayu hanya wujud dalam kad pengenalannya saja.

Tapi rasa cinta itu selalu mengatasi segala-galanya. Kerana cinta ada orang sanggup tukar agama, kerana cinta orang sanggup merompak, kerana cinta orang sanggup buat apa saja.  Lalu sekuat manakah hati dua anak muda yang baru mengenal hidup untuk mengetepikan rasa cinta, kala cinta mereka terhalang.
Untuk tahu apa jadi seterusnya, kenalah baca Blues Retro.
Ini Antara Dua Darjat dan Ibu Mertuaku versi saya!
Rasanya tidak berlebihan saya mempromosikan Blues Retro. Kan?


Opps, Kak Nila ingin juga ‘enterframe’ nak pacak bendera fasal blurb di sini…

Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan;
Buang emak buang saudara,
Kerana kasih hamba turutkan.

“Ghazi, kita kahwin lari!” kata Nik Farhana.
Hampir tersembur jus tembikai daripada mulut Ghazi.
“Apa dia?”
“Kita kahwin lari.” Suara Nik Farhana berbunyi serius.
“Hana jangan main-main!”
“Saya serius ni!”

Berjayakah Ghazi, siswa antropologi dan Nik Farhana, siswi perubatan di Universiti Lembah Pantai kahwin lari ke sempadan Siam?

* * * *
IMAEN memang diakui pembacanya sebagai penulis yang punya bahasa yang mantap lagi tajam. Kini lulusan Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya beralih arah, bertekad mahu memperkenalkan semula sastera remaja yang indah dan berisi pada generasi MTV dan Facebook.
* * * *
Jangan lupa sertai ‘Peraduan Menulis Dialog Si Manis’ di http://www.facebook.com/Jemariseni#!/photo.php?fbid=214343825259535&set=a.214343811926203.71229.213908208636430&type=1&theater
Tulislah fasal Ghazi dan Nik Farhana ya!

Dengan ‘mood’ nak peraga baju
baharu ke pesta buku,

 

Kak Nila

3 hari ke Pesta Buku...