Jemari Seni

Poster Web JS 2 1

 
 
 
 
You are here:: Kutubkhanah Pesta Buku 2011 Apa Kata Imaen Tentang Penulis Muda?
 
 

Apa Kata Imaen Tentang Penulis Muda?

Imaen
alahai_jijah-web
Cover-AkuBknBibik-3-web
Imaen
  • Prev
  • 1 of 4
  • Next

15 April 2011

Lagi 7 hari
ke Pesta Buku Antarabangsa KL

 Assalamualaikum,

Kak Nila sudah meminta Saudara Imaen bercerita fasal dua buku Si Manis 17 tulisan penulis baharu yang muda ini. Inilah novel pertama mereka, dan bakat mereka sudah terserlah...

 

(I)
SI MANIS 17: Alahai Jijah!

“Abang Abu, bagi cendol dua!”

Jijah macam saya, suka cendol. Tapi saya suka cendol ala-ala fusion gitu, dalam tu taruh macam-macam. Bukan setakat cendol, santan dan sirap gula kabung. Saya suka kalau tambah kacang merah, pulut, tapai, jagung, pengat durian atau hirisan nangka. Macam cendol kegemaran saya tu, begitu juga dengan Alahai Jijah!, dalam novel tu ada macam-macam. Dan kerana itu saya suka!
Alahai Jijah! Bercerita tentang Jijah, seorang kanak-kanak berumur sepuluh tahun yang sudah kematian ayah dan terpaksa tinggal dengan ibu tirinya yang punya seorang anak. Ibu tirinya pula sangat garang dan kejam.  Jijah dijadikan seperti orang gaji. Ibu tirinya itu pula bercita-cita nak menjodohkan anaknya dengan Borhan anak orang kaya di kampung itu. Nah! Di sini Dihsar seperti menyelit unsur parodi kepada cerita Cinderella pula. Dengan majlis tari-menari, Jijah yang berharap adanya tikus yang akan bertukar menjadi kuda untuk membawanya ke majlis itu dan ada pula babak tertinggal selipar Jepun di majlis itu. Tapi ini bukan seluruh cerita itu, ini hanya secubit saja, ada macam-macam lagi.
Sampai di sini, mungkin ada yang berkata begini, “Sekejap! Sekejap! Jijah ni baru berumur sepuluh tahun? Cerita budak-budak ke apa ni? Tak mahu belilah!”
“Bukan, Alahai Jijah! bukan cerita budak-budak. Kalau budak-budak baca mereka pun belum tentu faham dengan cerita ini. Ada elemen surealisme dalam cerita ini. Novel ini juga ada teknik penulisannya sendiri.” Itu jawab saya.
Pernah baca Painted House oleh John Grisham atau Lasykar Pelangi oleh Andrea Hirata? Kalau anda pernah baca, dalam kedua-dua novel itu watak utama ialah kanak-kanak, tapi kedua-duanya bukan bacaan untuk kanak-kanak. Dan seperti dalam Lasykar Pelangi, jangan mengharapkan kanak-kanak yang berfikiran seperti kanak-kanak. Malah novel itu pernah dikritik oleh pengulas sastera di sana kerana ‘meletakkan pemikiran dewasa dalam fikiran kanak-kanak’.
Begitu juga dengan Alahai Jijah! – Jijah bukan sembarang budak sepuluh tahun. Jijah kelakar, menghiburkan, berfikiran dewasa dan amat bijak. Jijah akan buat anda ketawa, seperti saya ketawa ketika membaca manuskripnya. Pada saya Alahai Jijah! menghidangkan anda dengan lawak yang bijak dan bersahaja. Dihsar tak perlu mengikat anda pada tiang, kemudian menggeletik anda untuk buat anda ketawa.
Tapi sesuatu yang buat saya tabik spring pada Dihsar ialah kemampuan dia menggunakan bahasa Melayu untuk membuat pembaca ketawa. Dia tidak mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris atau slanga. Walau dia mampu berbahasa Inggeris dengan baik, dia hanya membaca novel Inggeris (baru beberapa bulan kebelakangan ini baru dia baca novel Melayu) dan dia pun pernah memberitahu saya antara cita-citanya ialah menulis novel dalam bahasa Inggeris, dia menjaga martabat bahasa Melayu.
Bukan mudah untuk orang yang berfikir dalam bahasa Inggeris menulis dalam bahasa Melayu. Tahniah untuk Dihsar Ludba Haqifa!


(II)
SI MANIS 17: Maaf, Saya Bukan Bibik!


Pengumuman:
BELILAH NOVEL INI KERANA INI NOVEL PALING BERMAKNA UNTUK SI MANIS 17...
saya ulang seratus kali!

Maaf ya! Kerana saya buat promosi lebih-lebih untuk novel ini.

... Tapi ini memang novel yang paling bermakna sekali untuk Si Manis 17. Novel nombor wahid, mengalahkan Blues Retro, Alahai Jijah! dan Langsir Biji Remia dalam barisan sulung novel Si Manis 17. Bukan setakat itu saja, malah seperti ini novel paling bagus yang pernah ditulis dalam dunia. Seperti juga kalau tiada novel ini maka tak akan ada seorang manusia pun tahu apa itu makna novel. Tak berpeluang baca novel la anda semua! Wah, sebab apa ni angkat sampai begitu sekali? Ada apa-apa ke? :D

Jawabnya, memang ada apa-apa. Sebab tanpa novel ini memang belum ada apa-apa lagi. Tapi tolong ya, jangan buat spekulasi, bos saya sedang memantau saya.

Ceritanya begini, ketika saya dan Noor Suraya (Pengarah Eksekutif JS Adiwarna) usai berbincang, selesai satu sesi sumbang saran tentang konsep Si Manis 17, waktu itu JS Adiwarna sebenarnya tak ada sebuah manuskrip pun lagi untuk siri itu. Pengumuman untuk mencari manuskrip pun belum dibuat lagi. Tiba-tiba Puan Mariah Mustapha (Pengarah Urusan JS Adiwarna) bertanya sama ada saya mahu membaca atau tak sebuah manuskrip yang diterima Jemari Seni Sdn. Bhd. Manuskrip yang tak sampai had muka surat untuk jadi novel Jemari Seni Sdn. Bhd. Saya jawab, boleh juga. Kata Puan Mariah lagi, ini kisah perempuan yang jadi orang gaji. Dalam hati saya membayangkan sebuah kisah yang klise. Yalah, kan dah banyak penulis tulis kisah orang gaji. Macam-macam kes orang gaji ada. Ada cerita orang gaji yang jatuh cinta dengan suami majikan la,  ada kisah orang gaji bawa lari duitlah. Tambah pula ini penulis baharu. Tapi jangan kata saya akan kutuk manuskrip yang saya kena baca dan tak masuk dengan selera. Saya penulis juga, saya tak akan berbuat begitu.

Selepas baca 50 muka surat, saya belek penamatnya. Saya terus beritahu Noor Suraya,  “Manuskrip ini memang masuk dengan konsep Si Manis 17 yang kita bincang.”  Penulisnya menggarap bahasa Melayu dengan baik, tak merosakkan bahasa ibundanya sendiri. Lalu saya habiskan membacanya hingga akhir. Memang berbaloi membacanya!

Dan setelah kita buat keputusan untuk terbitkan novel ini, barulah saya dan Noor Suraya buat keputusan untuk menulis juga dalam siri Si Manis 17. Buat teman kepada ‘Si Bibik’ ini. Buat menjadi pemangkin pada penulis lain agar percaya pada produk baharu ini.

Ini memang bukan hanya kisah orang gaji saja. Ini kisah yang diolah dengan baik. Tidak membosankan. Ada ayat-ayat yang membuat saya ketawa terbahak-bahak ketika membacanya. Elemen-elemen perasaan antara lelaki dan perempuan pula ditulis dengan amat sopan tapi jelas. Tak perlu ucapan-ucapan, ‘rindu’, ‘sayang’, ‘cinta’ atau ‘kasih’. Cukuplah rasa itu tersurat secara metafora untuk yang dapat memahaminya.

Saya secara peribadi memang sarankan anda semua baca novel ini. Kerana selepas membacanya, ia meninggalkan ‘rasa manis’ pada kami yang membacanya. Dan saya percaya anda juga akan rasa begitu selepas membacanya. Percayalah...


7 hari ke Pesta Buku...