You are here:: Kutubkhanah Pesta Buku 2011 10 Hari ke Pesta Buku
 
 

10 Hari ke Pesta Buku

Flyers_PBAKL2011
BAG-Front_2011_-_w
Kipas
Kipas
BAG-Back-2011-w
Kak_Nila
  • Prev
  • 1 of 6
  • Next

12 April 2011

Lagi 10 hari lagi
ke Pesta Buku Antarabangsa KL 2011

Assalamualaikum,

Antara sirih beradat pinang
Tempat di mana sembah berlalu

Ini mungkin 7 SOALAN FAQ yang mungkin menjadi persoalan sebelum anda melangkah ke Gerai Jemari Seni nanti? Biarlah Kak Nila memberi jawapannya sekali gus.

1.    Apa yang JS akan jual di PBAKL ke-30 (Dewan Tun Hussein Onn, PWTC)?
Semua buku terbitan Jemari Seni sejak Oktober 2006 (Percayalah… oleh Ruby Hazri) sehinggalah buku pracetak Mei 2011 (Baju Melayu Hijau Serindit – oleh Syud  dan Contengan Jalanan – oleh Hlovate).

Semua novel terbitan JS Adiwarna yakni Siri Buat Orang Muda (genre apa pun, hanya RM10 sebuah) dan Novel Si Manis 17 (tebal bagaimanapun hanyar RM14 sebuah).

2.    Berapa diskaunnya?
Diskaun untuk novel Jemari Seni Sdn. Bhd. bermula dengan…
(a)    20% untuk buku-buku terbitan 2011
(b)    30% untuk buku-buku terbitan 2006-2010
(c)    40% untuk ‘tawaran istimewa’
(d)    25% untuk buku-buku  seperti di (a) kalau anda memilik baucar (sila tanya Saudara Soleh Ismail untuk dapatkan baucar – yang terhad itu)

3.    Di mana letaknya Gerai JS
Di tingkat bawah dewan yang bertentangan dengan kaunter informasi iaitu Dewan Tun Hussein Onn. Dalam tu ada Gerai PTS dan Gerai Ana Muslim
Gerai JS terletak di muka pintu dewan itu. Okey tak maklumat Kak Nila ini. Mana lebih bagus, maklumat GPS atau Kak Nila?

4.    Siapa penulis yang ada untuk sesi tandatangan?
Sila semak jadual penulis.

Tolong jangan tanya penulis yang tak ada dalam senarai ini datang ke tidak? Sebab JS selalu mempelawa semuanya datang, tetapi hanya penulis yang buat keputusan untuk datang atau tidak. Mungkin tahun ini mereka berhalangan, insya-Allah boleh jumpa mereka pada tahun-tahun akan datang.

5.    Ada token tak? Bagaimana hendak mendapatkannya?
ADA. ADA. ADA.
Cenderahati Jemari Seni berupa (sila lihat gambar):
(a)    Beg Bergaya ini hanya untuk pembelian TIGA buah Novel JS terbitan tahun 2011 sahaja. Hendak tahu fasal novel-novel keluaran 2001? Baca Buletin 2 - Kenapa Waswas untuk Membeli Tulisan Penulis Baharu?


(b)    Kipas Berlagak ini untuk pembelian TIGA buah buku SI MANIS 17

(c)    Dan sekiranya anda membeli sampai EMPAT buku SI MANIS 17 selain daripada mendapat Kipas Berlagak (sebenarnya Kipas Hikmat, tau) anda juga akan mendapat Beg Bergaya juga.

6.    Stok cukup atau tidak?
Soalan ini Kak Nila tiada jawapannya. Sebab rezeki itu datangnya daripada Allah. Maka Dialah yang membuka hati-hati pembaca untuk membeli. Namun sebagai penerbit, insya-Allah JS sudah mencetak mengikut kemampuan rancangan kami sebagai hamba Allah. Sesungguhnya Dia yang mengatur sesuatu.

Saranan Kak Nila: Datanglah membeli awal-awal ya; insya-Allah kes stok habis boleh diatasi.

7.    Ada aktiviti apa-apa tak?
Aktiviti apa yang ada selain daripada sesi autograf penulis – sesi pembaca bertemu penulis? Hmmm… ada,
(a)    Oh, ada Klinik Penulis – sesiapa yang berminat untuk menjadi penulis boleh sahaja bertanya-tanya. Nanti Kak Nila perinci dalam buletin akan datang.
(b)    Ada sesi Kuiz Trivia – iaitu kuiz untuk orang muda berumur  6-14 tahun. Soalannya mudah, dan hadiah berupa sebuah buku JS Adiwarna.
(c)    Pada yang ingin jadi wakil ‘jualan langsung’ (bukan MLM) – sesi Kaunter JS sedia menjawab segala persoalan anda.

Itulah 7 soalan yang Kak Nila sudah jawab. Sekarang Kak Nila berbalik pada sambungan Penulis dan Karya. Masih ada lima orang penulis yang belum Kak Nila perkenalkan. Penulis baharu ini manis-manis orangnya. Kak Nila senaraikan daripada Nasz yang terkenal dengan cerita Sweet Sour; Misdhiaz untuk cerita Kristal Kristal; Ana Farhana yang menulis cerita 3 Campur 1 = Satu; Ika Madera dan Jet Jonah dia serta Nisyah dengan 3 Jantung Hati.

Nasz dikenali dengan gaya bahasanya yang sempoi. Nasz mendapat pujian untuk cerita Sweet Sour. Pada yang belum tahu Nasz sudah ada buku yang lain selepas cerita Joe Jambul itu, dapatkan cerita Karamel (kompilasi dalam WARNA bersama Nazurah Aisyah dan Rnysa). Menurut bisik-bisik Kak Nila difahamkan, Lazuardi tulisannya yang ketiga sudah hampir ke ‘garisan’ penamatnya. Untuk Pesta Buku Selangor 2011, mungkinkah? Kak Nila menunggu wisel ditiup sahaja.

Misdhiaz, penulis berbakat ini juga sedang menulis buku baharunya. Waktu Kak Nila terlibat dengan editorial menyunting cerita Kristal Kristal – Kak Nila sangat menyenangi dengan bahasanya. Pada Kak Nila kalaulah seluruh ceritanya ditulis dalam bahasa Melayu sepenuhnya naskhah ini akan jadi semakin baik. Teruskan menulis Misdhiaz!

Ana Farhana. Melihat tajuk 3 Campur 1 = Satu, tentulah akan membuat ahli matematik mengamuk marah. Lalu tentu saja mereka rampas dan membeleknya lalu terus menandai kesalahannya. Tapi yang positifnya kemungkinan besar dia akan menyarankan anak remajanya supaya membaca buku ini; selain daripada cerita dan bahasanya yang sesuai untuk anak remaja, pengajaran yang terselit dalam cerita ini juga baik untuk golongan itu. Itulah saja komen yang dapat Kak Nila berikan pada karya sulung penulis muda remaja ini. Hendak tahu lebih lanjut, belilah waktu pesta buku nanti – 30% diskaun tahu!

Ika Madera, pengantin baharu ini tidak pula Kak Nila tahu sedang menulis cerita baharu atau tidak – atau masih berbulan madu. Namun cerita Jet Jonah, sangat Kak Nila senangi. Kak Nila suka pada bahasa Nusantara yang unik dan juga cara dia menggambarkan latar ceritanya. Makan masa jugalah kita orang di editorial hendak bercakap bahasa biasa semula selepas cerita Jet Jonah siap. Jangan lupa berjumpa dengan Ika Madera di PBAKL nanti, khabarnya dia bawa oleh-oleh dari Pulau Singa untuk sesi autograf nanti – penanda buku, kalau Kak Nila tidak salah… tak begitu, Soleh?

3 Jantung Hati, kulit bukunya warna merah jambu – ceritanya pun fasal ‘cinta’. Dapatkan buku Nisyah! Pada yang telah membaca buku ini – mereka berkata buku indah manis; baik ceritanya mahupun penutupnya. Kak Nila rasa judul novel ini bagaikan sesuai sahaja dengan Nisyah dan suaminya yang baru sahaja ada si kecil di rumah. Apa novel terbaharu penulis ini? Tanyalah sewaktu anda bertemunya di PWTC nanti.

Okeylah, maaflah Kak Nila berceloteh menggalahkan Minahleter. Sampai jumpa esok… Oh ya semalam Kak Nila sudah mengira duit pecah dalam simpanan – fuyooo, dapat beli banyak buku nanti. Anda sudah pecah tabung ke belum? Kalau belum… selamat mengira dan menukarnya kepada duit kertas, kasihan penerbit hendak mengira syiling nanti.

Wassalam.

Kak Nila

10 hari ke Pesta Buku...