Jemari Seni

Poster Web JS 2 1

 
 
 
 
You are here:: Kutubkhanah Pesta Buku 2011 Penulis dan Karya
 
 

Penulis dan Karya

COVER-Nysrah-front
teluki-web
COVER-samudera
Bidadari-web
Kak_Nila
  • Prev
  • 1 of 5
  • Next

Penulis dan Karya:
Satu Sorotan Sejak Oktober 2006

Assalamualaikum

Izinkan Kak Nila berbicara lagi. Kak Nila sekadar ingin menyambung apa-apa yang tertinggal pada buletin pagi tadi. Fasal II – Penulis dan Karya. Ya, apa cerita mereka yang terbaharu? Maafkan Kak Nila kalau buletin kali ini agak panjang sedikit; manakan tidak semaklah senarai katalog ini. Keluarga Jemari Seni sudah semakin ramai.

Semua buku-buku JS Novel mulai Oktober 2006 sehingga Disember 2010 di bawah ada diskaun 30%-nya.

Baca buletin sebelum ini di sini

Kak Nila mulakan dengan memperkenalkan Ruby Hazri; penulis yang ada begitu banyak cerita dan plotnya pula tidak serupa dengan kebiasaan penulis lain tatkala mengadunnya. Kalau anda mahu ketawa, bacalah Kopi Susu Sepatu Biru, mahu sedih sehingga meleleh ‘ayark’ mata ulitilah Percayalah... dan Percayalah... Akhirnya. Sekiranya mahu membelikan bahan bacaan untuk si kecil, ada Seindah Nama Ana (terbitan JS Adiwarna).

Pada yang sudah lama mengenali Rnysa di versi e-novel, cerita Relevankah Aku di Hatimu? telah mengubah penulis novel maya dari Kampar, Perak ini menjadi novelis. Novel Albatros: Antara Langit dan Bumi (dalam kompilasi Kebun Mimpi) dan Hikari Ainori (dalam kompilasi Warna) menjelaskan yang jurutera juga seorang penulis yang hebat. Untuk pesta buku ini, ada hadiah menarik menunggu pembacanya. Selain daripada adanya tart keju beri biru tajaan Errisa (Homemade Sweet) anda boleh lawat Facebook penulis ini.

Seterusnya, kalau suka pada cerita melankolik... ambillah Persis Sebutir Pasir dan Suka Saya, Ya? Suka Saya, Tidak? Karya Manjlara ini akan buat anda rasa insaf sangat. Setiap kali membaca karya Manjlara; hati Kak Nila rasa berbaur-baur... sedih lagi sayu. Entah bilalah dapat membaca karya penulis ini lagi. Moga Manjlara diberi ilham dan masa yang terluang untuk terus berkarya; itulah harapan kelompok pembacanya.

John Norafizan, penulis yang suka bereksperimen.  Bacalah Odisi Bulan Biru dan Garis-garis Dejavu untuk memahami hati anak teruna ini. Ceritanya lain daripada yang lain, tetapi bukan untuk minah jiwang karat ya. Kak Nila menyukai Saga Aldarian (terbitan JS Adiwarna). Sehingga kini, Kak Nila masih tertunggu-tunggu sambungan Volum 2-nya, Nafas Elbereth. Bila lagi John Norafizan? Orang kampung dah tunggu tu.  

Nazurah Aishah. Seorang lagi penulis dari Pasir Gudang. Orang Johor ni ramai yang jadi penulis di Jemari Seni. Penulis yang suka ‘makan’ air mata pembacanya ini ada kekuatan sendiri kala menyiapkan penamat cerita. Tidak hairanlah novel terbaharunya masih belum-belum diletakkan noktah lagi. Bacalah Lili Buat Najah, Rahsia Hati Sofia dan Melur Bunga Ivy. Saran Kak Nila lagi, tunggulah Bening Merah Jingga. Sudah pasti sekotak tisu belum mencukupi untuk menghapus rasa pilu.       

Kak Nila ingin bercerita fasal penulis ‘unik’ ini – Pingu Toha. Unik kerana dia hidup dalam dua kutub – sebagai ‘seorang Pingu’ dan ‘dirinya sendiri’. Kadang-kadang penulis anak Pahang ini menjadi orang lain pula. Cerita L.U.V.E dan 143 memperkenalkan nama Pingu Toha dalam dunia penulisan. Di Jabatan Editorial, setiap kali orang rasa susah untuk menghadamkan cerita Pingu Toha yang pelik – Kak Nila selalu menakut-nakutkan dengan pernyataan: Jiwa anda sudah melebihi 40 tahun walaupun jasad anda baru sahaja berusia 25 tahun. Takut tak dengan ugutan Kak Nila?

Aidil Khalid, Nazawati, Mazni Darwisya dan Noor Azzahra – masing-masing ada cara penulisan yang tersendiri. Cerita mereka menarik dan mempunyai kelompok pembaca mereka sendiri. Saudara Aidil Khalid (seorang peguam) kini membina nama dalam cerpen dan puisi dengan jayanya.  Sudah tentu masa untuk menulis novel sukar untuk dicuri. Penulis Nazawati yang sibuk dengan tugasnya di pejabat selalu berkata dia tidak cukup waktu untuk menulis. Begitu juga dengan Mazni Darwisya dan Noor Azzahra yang sunyi sepi sahaja. Pada penulis berempat ini, pembaca anda di luar sana sedang menunggu buah tangan terbaharu anda! Bak kata orang tua-tua, sehari selembar benang lama-lama menjadi kain. Amboi, Kak Nila bab menasihati orang dialah pandai. Kak Nila ada novel baharukah?


Ismad Astar. Antara Safa dan Marwah telah mengangkat nama profesor sains ini. Karyanya menjadi sebutan ramai, dan harap-harapnya di samping sibuk dengan tugas sehariannya akan ada karya terbaharu daripada penulis yang kaya dengan pengalaman ini. Pada yang belum mendapat karya sulung Ismad Astar, Novel untuk Ashikin –  sila dapatkan waktu di pesta buku nanti. Risik punya risik, kata profesor ini... dia sedang menulis cerita remaja yang ada humor.

Manuskrip terbaharu Khairyn Othman sudah masuk ke proses suntingan di Jemari Seni. Sebelum membaca karya terbaharu Khairyn Othman ini, kenapa tidak beli dahulu karyanya yang terdahulu Zahrah de Tigris dan Dame Zoete Sarah. Kedua-dua cerita ini menggunakan latar belakang luar negara: Iraq dan Belanda. Kalau teringin merasai suasana perang (selepas perang di Iraq) bacalah Zahrah de Tigris. Pada yang mahu membaca sedikit kisah ringan, bacalah cerita Sarah  dalam Dame Zoete Sarah (terjemahan bahasa Melayunya ialah Si Manis Sarah).

Xarine, penulis yang bekerja sebagai jurutera ini sudah menyiapkan dua buah novel yang berbeza genre di Jemari Seni. Karyanya yang pertama Bintang-bintang ke Syurga ditulisnya selepas mendapat inspirasi daripada cerita Ayat-ayat Cinta. Sementara buku keduanya, Yuda di Padang Maya (berjaya dipilih untuk projek BTP). Cerita tentang manusia yang mengembara di negeri jin ditulis secara santai.

Saidatul Saffaa dan Iman Xara sudah Kak Nila ceritakan dalam buletin pagi tadi. Kedua-dua mereka ada novel terbaharu. Namun biar juga Kak Nila perkenalkan buku-buku lama mereka untuk anda masukkan dalam senarai untuk dibeli. Saidatul Saffaa terkenal dengan novel Kemilau Mutiara Raudhah. Sementara Iman Xara sudah ada Tanya Pada Hati dan Rumput Masih Hijau.

Oh ya kalau ditanya selain daripada Imaen untuk genre separa-thriller siapa lagi penulis genre thriller di Jemari Seni; jawapannya ialah Nasron Sira Rahim. Untuk ceritanya, Kak Nila tak mahu bercerita. Kak Nila lebih suka anda membacanya sendiri; barulah anda dapat ikut menyelesaikan teka-teki yang disediakan. Baru ada thrill. Pada yang sudah membaca Nama Atas Kertas, sisipannya ada dalam Tinta – Wajah Ketiga.

Uwaaa dah tak larat dengar Kak Nila membebel ya? Kasihan dia. Okey-okeylah, esok Kak Nila akan menulis lagi untuk mempromosi buku-buku lagi. Tunggu ya Kak Nila bercerita fasal Nasz, Misdhiaz, Ana Farhana, Ika Madera dan Nisyah – penulis baharu berbakat besar.

Oh ya sekali lagi, jangan lupa semua buku terbitan sehingga Disember 2010 ini ialah 30% tau.

 

 

 

Kak Nila

12 hari ke Pesta Buku...