Panduan Penulis

JEMARI SENI SDN. BHD. berhasrat untuk menjadi penerbit yang mengutamakan mutu cerita dan bahasa di Malaysia dalam usaha memupuk minat membaca dan menghasilkan bahan bacaan bermutu kepada masyarakat. Dalam usaha mengekalkan hasrat murni ini; JEMARI SENI yakin bahawasanya sesebuah karya yang baik itu sepatutnya mementingkan pengisian dan pemilihan bahasa yang tidak jelik dan juga nahu yang tepat.

Sehubungan itu JEMARI SENI menetapkan KAMUS DEWAN terbitan Dewan Bahasa & Pustaka (Edisi Keempat) sebagai rujukan utama dalam peristilahan, imbuhan dan ejaan.  Selain itu, penggunaan bahasa Nusantara juga diterima pakai dalam penulisan sesebuah karya di JEMARI SENI dengan pertimbangan ejaan mengikut bahasa asalnya.  JEMARI SENI akan cuba mempertingkatkan kualiti penyuntingan dari semasa ke semasa dengan bantuan anda sebagai penulis.  Sementara itu, dalam pembinaan ayat dan gaya bahasa, JEMARI SENI membiarkan pengarang mencipta gaya untuk membentuk identiti penulisan yang tersendiri.

Penulis sentiasa diberi kebebasan dari aspek bahasa; yakni penulis tidak dikongkong menulis seratus peratus dalam bahasa Melayu tanpa menggunakan bahasa asing.  Di JEMARI SENI kami juga akur tentang code switching dan code mixing yang mewarnai bahasa kita selama 400 tahun ini. Sekiranya berlakunya pertembungan bahasa, kata pinjaman itu haruslah dipetik dengan sopan agar tidak menjejaskan kualiti sesebuah manuskrip.  Mana-mana perbendaharaan kata yang menggunakan bahasa daerah atau bahasa asing perlu ditulis dalam huruf condong (italic).

Untuk tujuan pengiriman manuskrip, JEMARI SENI telah menggariskan panduan kepada penulis-penulisnya.

PANDUAN PENULIS - NOVEL UMUM

JEMARI SENI SDN. BHD. menitikberatkan karya yang mempunyai nilai moral yang tinggi dan berlandaskan hukum Islam yang kita junjung.  Dalam usaha menjadikan hasil karya sebagai saluran ibadah, JEMARI SENI lebih mengutamakan karya-karya yang lebih cenderung ke arah penghayatan nilai-nilai Islam ataupun Islam sebagai satu cara hidup.

2.  Karya yang Asli
* tidak jiplak daripada mana-mana terbitan, stensilan atau apa juga yang bukan hasil kerja anda;
* tidak diterjemahkan daripada mana-mana buku dan mana-mana bahasa;
* tidak disadur daripada mana-mana sumber atau terbitan lain;
* tidak merupakan bahan yang ditakrifkan sebagai bahan sekunder yang boleh diertikan sebagai mendominasi karya anda; dan
* atau apa-apa juga bentuk yang meragukan keaslian karya anda

3. Perihal Manuskrip
* Ketebalan halaman ~ untuk novel umum jumlah halaman ialah antara 400–500
* Dicetak langkau dua baris di atas kertas A4 warna putih pada sebelah halaman sahaja 
* Sila cetakkan nombor pada setiap halaman
* Format untuk letak atur:
(a)    Gunakan saiz huruf (font) 12, jenis Times New Roman
(b)    Page set-up:  First line, 0.3” , Double spacing
(c)    Selang antara satu bab ke satu bab ialah LIMA kali enter
(d)    Selang antara satu perenggan baharu (cerita atau latar baharu, tetapi masih dalam bab yang sama) ialah TIGA kali enter

* Cadangkan sebuah JUDUL yang menarik serta memperlihatkan keaslian dan ada kelainan berbanding lambakan novel-novel di pasaran
* Menggunakan tatabahasa dan tanda bacaan yang betul
* Hantarkan dalam file Word.


4.  Mengirim Manuskrip
Di JEMARI SENI SDN. BHD. karya dinilai/disaring dalam dua peringkat. Sekiranya penulis melepasi peringkat pertama, barulah manuskrip tersebut dinilai sepenuhnya: 

PERINGKAT I
Penulis hanya perlu mengirim manuskrip yang mengandungi:
(a)     Biodata penulis
(b)     Tajuk dan sinopsis cerita
(c)     10 bab awal
(d)     5 bab akhir
(e)     Hantarkan ke e-mel atau alamat berikut: This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it

atau

Editor
Jemari Seni Sdn. Bhd.,
1-25, Jalan Kajang Impian 1/11,
Taman Kajang Impian,
43650 Bandar Baru Bangi,
Selangor Darul Ehsan.


JEMARI SENI SDN. BHD. akan memberi jawapan dalam tempoh EMPAT minggu.    

PERINGKAT II
Sekiranya karya tersebut melepasi Peringkat I, penulis perlu menghantar keseluruhan manuskrip untuk dinilai semula, juga melalui e-mel. JEMARI SENI akan memberi jawapan sama ada karya ini akan diterbitkan atau tidak dalam tempoh tidak melebihi 8 minggu. Jika karya tersebut terpilih, penulis perlu menyertakan surat muka (lihat perkara 5) untuk tujuan rekod penerbitan.

5. Surat Muka
Selain daripada surat iringan untuk mengirim karya, sila sertakan sinopsis novel (dalam satu halaman), cadangan  untuk caption dan blurb (boleh lebih daripada satu), biodata, nama pena (untuk dicetak pada novel) dan gambar penulis untuk rujukan.

6. Royalti
* Sekiranya karya anda dipilih untuk diterbitkan oleh JEMARI SENI SDN. BHD., anda berhak menerima bayaran royalti sebanyak 7% untuk novel umum berdasarkan harga novel (Semenanjung Malaysia).
* Royalti pertama hanya akan dibayar selepas ENAM bulan novel anda berada di pasaran

You are here: Panduan Penulis Panduan Penulis